Hadirkan rasa syukur dalam diri

Hadirkan Rasa Syukur Dalam Diri

Rasa Bersyukur

Bersyukur Atas Segala Nikmat KurniaanNya

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk membaca sekaligus menggali ilmu rasa syukur melalui buku tulisan Tuan Zuhairi Nopiah baru-baru ini.

Rasa tersentap dari lamunan seketika betapa kita sebagai hambaNya jarang sungguh meluahkan rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta.

Rupa-rupanya apabila kita bersyukur maka akan bertambah-tambah lagi nikmat yang akan digandakan oleh Allah s.w.t terhadap diri kita.

Prinsip yang diketengahkan oleh Tuan Zuhairi Nopiah dalam bukunya yang berjudul “Jurnal Inspirasi Syukur” amat mudah iaitu kalau kita benar-benar ingin berjaya kenalah PERCAYA SEBELUM BERJAYA.

Andai kita tidak rasa mampu untuk PERCAYA tidak mengapa, yang penting kita terus buat dan buat tanpa ada rasa mengalah.Kita berusaha yang memberikan segala nikmat adalah Allah s.w.t.

Apabila kita berjaya melaksanakannya, kita akan ada RASA. Bila kita RASA, kita akan mula PERCAYA!

Subhanallah…

Saya benar-benar bagaikan terjaga dari tidur yang lena. Kenapa saya harus mengalah, sedangkan saya belum berusaha semaksima yang boleh. Allah Maha Kaya, Maha Pemurah, Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya.

Kita rasa kita telah diuji dengan seberat-berat ujian sedangkan sebenarnya ujian itu hanya ditujukan bagi yang mampu. Sedar atau tidak sebenarnya ujian itu hanya sekecil kuman berbanding ujian orang lain di luar sana.

 

Bersyukurlah…

 

Diatas segala nikmat pemberianNya.

Syukur adalah menghargai apa yang kita ada, dan bukanlah menangisi apa yang kita tiada.

Jika selama ini kita hanya fokus kepada perkara-perkara yang negatif dalam hidup kita, mulai saat ini kita mulakan dengan rasa syukur terhadap segala nikmat-nikmat pemberian Allah yang terlalu banyak dalam hidup kita tanpa kita sedari.

  • Nikmat mata
  • Nikmat telinga
  • Nikmat tangan
  • Nikmat kaki
  • Nikmat keluarga
  • Nikmat kasih sayang
  • Nikmat ukhwah
  • Nikmat persahabatan
  • Nikmat pekerjaan
  • Nikmat anak-anak
  • Nikmat makan dan minum
  • Nikmat kesihatan

Subhanallah, betapa banyaknya nikmat yang kalau kita senaraikan bagai tidak habis-habis. Ya Allah, terima kasih atas segala nikmat pemberianMu. Aku bersyukur ya Allah.

Bila kita berjaya semaikan rasa syukur dalam diri, maka Allah akan menambah-nambahkan lagi nikmat kepada kita.

“Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan;”Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

(Surah Ibrahim : Ayat 7)

 

Berusahalah Bersungguh-sungguh Agar Segala Impianmu Akan Tercapai

 

Kadangkala kita diuji dengan pelbagai ujian dalam biznes yang kita jalankan tatkala kita baru sahaja mahu memulakan langkah. Jangan pernah mengalah, PERCAYA SEBELUM BERJAYA, Allah pasti bersama-sama dengan hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam segala amal perbuatannya.

Jika sekali kita diuji, jangan pernah rasa lemah diri. Bangkitlah segera kerana kita ada Allah s.w.t yang Maha Kaya.Berusahalah hingga ke akhirnya demi orang-orang kesayangan disekeliling kita.

Banyak sungguh ilmu yang boleh digali dari buku ini, banyak memotivasikan diri saya yang serba kekurangan ini. Maha Suci Allah yang menjadikan sekalian makhluknya, nikmat apa lagi yang ingin kita nafikan?

 

Marilah Kita Mulakan Rasa Kesyukuran Dalam Diri

 

Kita mulakan dengan diri kita terlebih dahulu dengan cara

  • Mulakan percakapan yang baik-baik
  • Fikirkan hanya yang baik-baik
  • Dengarkan perkataan yang baik-baik
  • Kerja dengan sehabis baik

Maka dengan secara tidak langsung akan lahir rasa syukur dalam diri sekaligus menjemput rezki dari Allah dengan pelbagai pemberian nikmat tanpa disangka-sangka.